Monday, January 8, 2007

Protes Kenaikan Harga Tol : Petanda Baru Kebangkitan Rakyat


Perhimpunan aman membantah kenaikan harga tol yang dianjurkan oleh gabungan parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan telah berlangsung dengan jayanya semalam.

Hebahan dan promosi program demonstrasi ini yang telah disebarkan secara meluas melalui laman-laman internet dan blog –blog peribadi serta akhbar alternatif seperti Suara Keadilan telah berjaya menarik kehadiran ribuan peserta dari segenap lapisan masyarakat.



Slogan “Hidup hidup! Hidup rakyat! Undur-undur! Undur Pak Lah! Hancur hancur! Hancur BN!” dilaungkan berkali-kali dengan begitu padu dan bersemangat sekali oleh ribuan yang hadir. Jelas sekali bagi sesiapa yang hadir menyaksikan perhimpunan bersejarah di Sunway Piramid ini bahawa rakyat kebanyakkannya sudah mula hilang keyakinan terhadap Pak Lah dan tindak tanduk kerajaan pimpinannya dalam mengendalikan urusan negara.



Apa yang menarik dalam perhimpunan ini adalah penglibatan meluas dikalangan golongan muda kaum cina untuk bersama-sama menuntut perubahan. Kedudukan strategik tapak pelancaran Protes rakyat ini yang berdekatan dengan kolej-kolej swasta sekitar Bandar Sunway dan Subang telah menggalakkan penyertaan meluas golongan muda. Ucapan-ucapan yang disampaikan oleh pimpinan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapat tepukan dan sorakan yang bergemuruh dari para hadirin.



Walaupun pihak Polis pada awalnya cuba menghalang kemaraan rakyat berarak ke jalanraya setelah berhimpun di pintu masuk utama Sunway Piramid, ternyata kemaraan rakyat tidak dapat dibendung lagi apabila jumlahnya sudah terlalu ramai. Terima kasih diucapkan kepada Pihak Polis khususnya Polis daerah Subang dan juga Pasukan FRU kerana walaupun mendapat arahan dari pihak atasan tetapi mereka masih ada perasaan bertimbang rasa dan sikap kepedulian terhadap suara rakyat. Nampaknya mereka memahami sentimen kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga tol oleh kerajaan Barisan Nasional kerana secara tidak langsung mereka juga pengguna lebuhraya dan terpaksa membayar harga tol ketika diluar waktu bertugas.


Antara pimpinan Parti Keadilan Rakyat yang hadir pada pehimpunan ini adalah Saudara Tian Chua, ketua Penerangan Keadilan, Tan Sri Khalid Ibrahim, Bendahari Keadilan , Puan Fuziah Salleh, Ketua Wanita , Saudara Samsul Iskandar Mohd Akin, Pemangku Angkatan Muda, Tuan Syed Shahrir, Ketua Bahagian Kelana Jaya dan juga Presiden MTUC , Saudara Dr. Xavier Jayakumar Timbalan Setiausaha Agung, serta Saudara Dominic Ng Kim Ho, Ahli Pimpinan Tertinggi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Padungan Sarawak.


Pimpinan DAP diwakili oleh Saudara Ronnie Liu, AJK DAP Pusat, Saudara Teng Chang Kim, Adun Sungai Pinang, Saudari Theresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh dan Saudara Ng Swee Lim, Adun Sekinchan sementara PAS pula diwakili oleh Dr. Hatta Ramli , Setiausaha penyelaras protes kenaikan harga tol, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohd Sabu, Naib Presiden PAS, Tuan Haji Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad, Ketua Unit Penyelidikan PAS Pusat serta Dr. Lo Lo Ghazali, wakil Muslimat PAS.


Wakil-wakil dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) Suaram, MTUC serta JIM juga hadir dan memberikan ucapan.


Parti Keadilan Rakyat Bahagian Pandan tidak ketinggalan untuk menghadirkan diri ke perhimpunan ini dengan menghantar wakil AJK Bahagian yang diketuai oleh Saudara Zakaria Rahim, Timbalan Ketua Bahagian Pandan.


Syabas kepada semua yang hadir diatas keberanian dan kesungguhan anda untuk memperjuangkan isu tol yang begitu membebankan rakyat. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sekali lagi berjaya membuktikan bahawa perpaduan sebenar dapat dicapai dengan adanya kesedaran, kesanggupan dan kesungguhan untuk berganding bahu bersama-sama dalam perjuangan menuntut hak dan keadilan demi kebaikan rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.


Marilah bersatu dan bersama-sama dalam perjuangan untuk menuntut perubahan. Bagi mereka yang masih tertidur, mari kita kejutkan mereka dari lena yang panjang. Bagi mereka yang sudah ada kesedaran betapa pentingnya untuk membuat perubahan tetapi masih memilih untuk membatukan diri tanpa membuat sebarang usaha untuk memperkukuhkan gerakan reformasi dan perubahan, ayuh bangun dan bersama-sama kami dalam perjuangan ini. Buangkan sifat malas anda dan mulakan langkah anda dengan membantu memperkuatkan arus perubahan negara.

Waktu untuk perubahan adalah sekarang.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Lagi gambar-gambar dan berita demo kenaikan harga tol:-

1) Jeff Ooi.com

2) Tian Chua's E Contrario

3) Arah Kita

4) Lensa Malaysia - Gambar berkualiti tinggi, penuh aksi dan drama.

5) Zulhabri


No comments:

Ceramah Umum Bantahan Kenaikan Harga Tol

Sekitar Jamuan Hari Raya Aidilfitri Anjuran PKR Pandan dan Ampang