Tuesday, December 26, 2006

Mengenang Kembali Deklarasi Permatang Pauh



Tahun 2007 yang bakal menjelang beberapa hari lagi membawa signifikasi besar dalam perjuangan membebaskan rakyat Malaysia dari penjajahan dan penindasan kerana tahun 2007 membawa tanda bahawa kita bakal meraikan sambutan Jubli Emas 50 tahun kemerdekaan negara kita.

Adalah baik bagi kita untuk menoleh sejenak dan menghayati falsafah dan makna kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Kemerdekaan bermakna bebas dari penjajahan dan bebas dari segala bentuk penindasan dan exploitasi. Kemerdekaan juga membawa erti jaminan keadilan dalam bentuk pengagihan ekonomi dan penegakan hukum.


II


Parti KeADILan Rakyat adalah kesinambungan perjuangan rakyat Malaysia dalam usaha menuntut kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Sudah sampai masanya seluruh rakyat Malaysia bersatupadu tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama berganding bahu untuk melakukan reformasi dan perubahan kearah kebaikan dalam usaha menyelamatkan negara Malaysia daripada terjerumus dalam wabak rasuah, penyelewengan kuasa dan penindasan sehingga mengakibatkan lumpuhnya upaya untuk memulihkan sistem politik dan pentadbiran negara. 50 tahun sudah cukup untuk kita menilai dan meneliti keberkesanan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO dalam merangka dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.


III


Menjelang 2007 kita akan menyambut tahun baru dengan peningkatan kos kehidupan. Harga air,eletrik dan tol akan dinaikkan lagi oleh kerajaan dimana bebannya akan ditanggung oleh kesemua rakyat Malaysia. Menjelang tahun 2007 juga kita telah melihat kerakusan kerajaan merobohkan rumah-rumah peneroka Bandar seperti yang berlaku di Kampung Berembang di Ampang dan Kampung Chubadak di Sentul. Kita juga melihat bagaimana rakusnya penguatkuasa undang-undang merobohkan premis perniagaan gerai makanan yang berlesen seperti yang terjadi di Kelang. Sedangkan isu sebenarnya adalah kerakusan pemimpin membolot kekayaan. Istana ‘haram’ Dato Zakaria Mat Derus tidak dirobohkan tetapi rakyat bawahan yang miskin yang sepatutnya mendapat pembelaan dari kerajaan diabaikan kepentingan mereka begitu sahaja.


Menjelang sambutan 50 tahun Kemerdekaan negara kita masih lagi disogokkan, ditakut-takutkan dan dicanangkan dengan kebimbangan-kebimbangan akan ancaman rusuhan kaum dengan menyalahkan sesuatu kelompok kaum sebagai sebab kegagalan bangsa melayu dalam mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi sedangkan semakin jelas dimata rakyat bahawa punca kegagalan dasar-dasar kerajaan yang diterajui oleh UMNO adalah akibat rasuah dan penyelewengan pemimpin-pemimpin melayu UMNO itu sendiri.

Kaedah lapuk dan sonsang politik perkauman ini perlu ditolak dan disanggah oleh setiap rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka dan celik akalnya kerana ianya hanya akan membawa mudarat yang besar kepada negara didalam usaha kita untuk memulihkan integriti negara kita dipentas dunia dan persaingan global.


IV


Waktu untuk melakukan perubahan adalah sekarang. Bersempena dengan kemunculan tahun 2007 ada baiknya kita menghayati kembali Deklarasi Permatang Pauh yang telah diungkapkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada 12 September 1998. Dokumen deklarasi Permatang Pauh ini amat bernilai bagi memupuk kefahaman sebenar kita akan maksud dan tujuan reformasi : Perubahan kearah kebaikan. Walaupun ungkapan deklarasi ini sudah lebih 8 tahun, intipati semangat dan iltizam untuk melakukan perubahan kearah kebaikan yang terkandung didalam deklarasi ini masih relevan dan penting untuk dikupas dan dihayati oleh segenap rakyat Malaysia yang kasih dan cintakan negaranya.


DEKLARASI PERMATANG PAUH



Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami ;


Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:


Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;


Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;


Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;


Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;


Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;


Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;


Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.


Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.


Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.


Permatang Pauh

12 September 1998

No comments:

Ceramah Umum Bantahan Kenaikan Harga Tol

Sekitar Jamuan Hari Raya Aidilfitri Anjuran PKR Pandan dan Ampang