Friday, December 29, 2006

Pelbagai lapisan sertai bantahan kenaikan kadar tol


Anis Nazri
Thu | Dec 28, 06 | 09:28:03 AM

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Hrkh) - Hampir 500 orang memenuhi Dewan Perhimpunan Cina, di Jalan Maharajalela, bagi mengikuti ceramah berkenaan kenaikan kadar tol, malam tadi.

Hadirin yang meliputi pelbagai kaum, Melayu, Cina, dan India sama-sama menghadirkan diri ke ceramah tersebut sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan menaikkan kadar tol mulai Januari depan.


Antara yang menyampaikan ceramah pada malam semalam ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Pengerusi Protes yang juga Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.

Dalam majlis itu, para hadirin berserta penceramah bangkit menyatakan sokongan bagi membantah kenaikan kadar tol yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu, sebelum ini.


Dalam perkembangan sama, pada 27 Dis lalu, Protes Kenaikan Tol berjaya menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Ahmad Yaacob, di Putrajaya.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tiada dan dikatakan sedang bercuti.

Memo berkenaan diserahkan Syed Shahir, dengan diiringi Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Mahfuz Omar, Tian Chua, Pemangku Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, penyelaras Suaram, Yap Swee Seng dan aktivis masyarakat.

Antara tuntutan yang terkandung dalam memo berkenaan ialah sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol itu, rakyat akan mengadakan perhimpunan secara aman di gerbang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), pada 7 Januari depan, jam 4 petang.

Perhimpunan itu diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan kadar tol yang tidak seharusnya dilakukan kerajaan.

2 comments:

ADIhamka said...

salam buat pentadbir blog.
syabas atas kelahiran blog ini,semoga ia akan memeriahkan lagi hebahan maklumat mengenai parti dan gerakan keseluruhannya.
cuma permintaan saya,harap ia kekal konsisten sepanjang masa.janganlah ibarat teratai layu di tasik madu macam blog-blog parti seangkatan yang lain.

PKR Pandan said...

W'salam Sdr adihamka.

Terima kasih atas penghargaan saudara. Kami dari PKR Bahagian Pandan amat mengalu-alukan teguran dan pandangan dari setiap pihak untuk memperbaiki blog ini. Harapan kami blog ini akan menjadi pemangkin bagi memperkukuhkan lagi semangat dan dukungan masyarakat untuk melakukan perubahan.

Ingatan saudara kami akan jadikan azimat untuk membulatkan tekad dan usaha.

Ceramah Umum Bantahan Kenaikan Harga Tol

Sekitar Jamuan Hari Raya Aidilfitri Anjuran PKR Pandan dan Ampang