Tuesday, January 9, 2007

Dr Mahathir bersetuju demonstrasi bantah tol

Abdul Aziz Mustafa
Tue | Jan 09, 07 | 03:35:53 AM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju demonstrasi membantah kenaikan tol asalkan diadakan secara aman.

"Dia ada peaceful demo tak apalah. Masa saya tak berapa peaceful (aman). Negara kita negara demokratik. Tidak mengapa diadakan demonstrasi kecil," Malaysiakini memetik beliau berkata ketika ditanya mengenai demonstrasi membantah kenaikan tol di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dekat Bandar Sunway Ahad lalu.

Bekas Perdana Menteri tidak bersetuju kadar tol dinaikkan sehingga 60 peratus apabila berkata jumlah trafik bertambah berkali ganda sejak perjanjian konsesi tol ditandatangani.

Tol boleh dinaikkan tetapi kadarnya tidak seharusnya sangat tinggi, katanya ketika ditanya mengenai bantahan parti pembangkang dan badan bukan kerajaan Ahad terhadap kenaikan tol oleh lima syarikat pemegang konsesi lebuh raya mulai 1 Januari lalu.

"Sepatutnya pendapatan syarikat pemegang konsesi seharusnya telah meningkat. Jadi saya fikir eloklah dia bagi maklumat tentang banyak mana dia kutip sekarang ini," Bernama memetik Dr Mahathir berkata pada sidang akhbar bagi mengumumkan penganjuran satu persidangan antarabangsa bulan depan sebagai usaha menjadikan perang itu satu jenayah.

Malaysia Today pula melaporkan, Dr Mahathir mengakui bahawa perjanjian konsesi tol tidak dirangka dengan baik semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Operator lebuhraya, katanya, kini mengaut keuntungan besar daripada kenaikan tol.

Bekas Perdana Menteri mengakui bahawa kandungan perjanjian konsesi yang dirangka semasa beliau mentadbir mempunyai kelemahan dan kabinet patut melakukan sesuatu yang lebih baik dari itu.

“Kabinet hanya meluluskan dari segi prinsip. Mereka tidak betul-betul mengkaji implikasi beberapa bahagian dalam perjanjian tersebut,” Malaysia Today memetik beliau.

"Anggota kabinet bukan pakar-pakar. Mereka adalah ahli-ahli politik dan sesetengah ahli politik seperti saya boleh jadi begitu bodoh. Apabila ada perjanjian, perjanjian itu dibuat oleh pegawai-pegawai dan perjanjian yang diserahkan kepada kabinet biasanya tidak mempunyai perinciannya," Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak berpuas hati dengan perjanjian sedemikian dan kemudiannya memberikan arahan khusus supaya disenaraikan perkara-perkara yang sepatutnya dimasukkan dalam semua perjanjian.

"Kami tidak mempunyai begitu banyak pengalaman. Kami tidak tahu tentang pertumbuhan dan reaksi orang ramai. Kakitangan awam tidak begitu memikirkan reaksi seperti ahli-ahli politik. Mereka fikir perjanjian tersebut adalah munasabah lalu menghantarnya kepada kabinet dan kabinet menerimanya. Dan sekarang kita tersangkut," katanya.

Dr Mahathir berpendapat perjanjian baru boleh dilakukan dengan syarikat pemegang konsesi tol dengan syarat mereka masih mendapat keuntungan.

“Jika pertambahan jumlah lalulintas dan syarikat memungut lebih daripada yang diunjurkan, kerajaan mempunyai bahagian terhadapnya. Jika unjuran jumlah lalulintas tidak berlaku, dengan itu jumlah yang dikumpulkan kurang, kerajaan perlu bayar pampasan.

"Saya fikir jumlah kenderaan bertambah dengan begitu banyak, tetapi saya tidak tahu. Kita tidak mempunyai angkanya. Saya banyak memandu, seperti yang anda tahu, saya juga melihat kesesakan lalulintas. Saya tahu mereka tentu mengutip sejumlah wang yang agak besar," katanya.

No comments:

Ceramah Umum Bantahan Kenaikan Harga Tol

Sekitar Jamuan Hari Raya Aidilfitri Anjuran PKR Pandan dan Ampang